Jenis-jenis Hilang Pendengaran

Hilang Pendengaran Konduktif

Sebarang masalah di dalam telinga luar dan dalam yang menghalang bunyi dialirkan dengan betul dikenali sebagai hilang pendengaran konduktif. Hilang pendengaran konduktif biasanya berada pada tahap ringan atau sederhana, bermula daripada 25 hingga 65 desibel.

Dalam sesetengah keadaan, hilang pendengaran konduktif mungkin berlaku sementara sahaja. Ubat dan pembedahan boleh membantu, bergantung kepada punca masalahnya yang spesifik.  Hilang pendengaran konduktif juga boleh dibantu dengan alat bantu pendengaran, implan telinga tengah atau implan konduksi tulang.

Hilang Pendengaran Sensorineural

Hilang pendengaran sensorineural terjadi akibat ketiadaan atau kerosakan sel deria (sel rerambut) di dalam koklea dan kebiasaannya akan kekal. Turut dikenali sebagai “pekak saraf”, hilang pendengaran sensorineural boleh berada di peringkat ringan, sederhana, teruk atau parah.

Hilang pendengaran sensorineural yang ringan hingga teruk selalunya boleh dibantu dengan alat bantu pendengaran atau implan telinga tengah. Implan koklear selalunya digunakan sebagai penyelesaian kepada hilang pendengaran yang teruk hingga parah.

Sesetengah individu mendapat masalah hilang pendengaran pada frekuensi tinggi sahaja, yang turut dirujuk sebagai pekak separa. Dalam kes-kes sedemikian, hanya sel rerambut di dasar koklea sahaja yang telah rosak. Di bahagian dalam koklea, apeks iaitu sel rerambut yang bertanggungjawab untuk memproses nada rendah masih tidak terjejas. Gabungan stimulasi elektrik dan akustik, atau EAS telah dihasilkan khusus untuk kes-kes sebegini.

Hilang Pendengaran Campuran

Hilang pendengaran campuran adalah kombinasi antara hilang pendengaran sensorineural dan konduktif. Ia terjadi akibat masalah di dalam telinga dalam dan luar atau tengah. Pilihan rawatan yang boleh dilakukan termasuklah ubat, pembedahan, alat bantu pendengaran, implan pendengaran telinga tengah atau implan konduksi tulang.

Hilang Pendengaran Neural

Masalah yang terjadi akibat ketiadaan atau kerosakan pada saraf auditori boleh mengakibatkan hilang pendengaran neural. Hilang pendengaran neural biasanya berada pada tahap parah dan kekal.

Alat bantu pendengaran dan implan koklear tidak dapat membantu kerana saraf tidak boleh menghantar maklumat bunyi kepada otak.

Dalam kebanyakan keadaan, Implan Stem Otak Auditori (ABI) boleh dipilih sebagai rawatan terapeutik.

© 2017 MED-EL